Thursday, April 23, 2015

#PRKRompin : Pengalaman Di Pengkalan Kubor Dibawa Ke Rompin – Ahmad Razif


Menteri Besar Terngganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, UMNO Terengganu akan menggunakan pengalaman mereka ketika membantu Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang lalu dalam usaha meningkatkan majoriti undi dalam PRK Parlimen Rompin 5 Mei ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu, dalam PRK DUN Pengkalan Kubor pada 25 Sept tahun lepas, UMNO Terengganu diamanahkan untuk menjaga pusat daerah mengundi (PDM) Tujoh, dan berjaya meningkatkan undi majoriti dalam jumlah yang besar.

Pada kali ini di Rompin, UMNO Terengganu diberikan tanggungjawab menjaga tujuh PDM iaitu Pontian, Kedaik, Kampung Gading, Bandar Baru Rompin, Kuala Rompin, Leban Chondong dan Sungai Puteri.

“Seramai 400 orang akan ditugaskan di kesemua PDM itu, dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Terengganu di sini, Selasa malam.

Tegas Ahmad Razif lagi, pihaknya optimis untuk meningkatkan majoriti undi BN pada PRK Rompin kerana BN meletakkan calon yang terbaik iaitu pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin.

Katanya lagi, calon yang dikemukakan oleh BN adalah seorang yang berpengalaman luas dalam politik dan dekat di hati pengundi Parlimen Rompin.

Tambahnya, UMNO Terengganu juga akan mengguna pakai pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi untuk memberi penjelasan berhubung isu semasa yang akan dimainkan oleh pembangkang pada PRK ini.

PRK Rompin diadakan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

0 comments:

Post a Comment