Wednesday, April 29, 2015

Guan Eng Tidak Serius Isu Tanah Pertanian Permatang Pauh – Tajuddin


Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng dilihat memandang remeh hal bekalan makanan terutamnya dalam pengurusan Sawah Padi apabila meluluskan pertukaran guna tanah dari pertanian kepada bangunan atau perumahan.

Hal itu dibangkitkan oleh penduduk Kampung Permatang Ara yang runsing dengan kegiatan membeli tanah sawah milik orang kampung yang dibangunkan untuk membina rumah kediaman yang kemudiannya dijual dengan harga yang tinggi.

Keadaan tersebut menjadikan kawasan padi kampung tersebut menjadi semakin kecil dan mungkin akan pupus jika kegiatan tersebut tidak dibendung dengan segera.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman berasa hairan bagaimana proses pertukaran status tanah tersebut boleh diluluskan dan siapa yang yang bertanggungjawab meluluskannya.

Jika keadaan berleluasa, ia akan menyebabkan pengeluaran beras Negara semakin berkurangan dan kerajaan terpaksa mengimport beras dari luar bagi menampung kekurangan tersebut.

Menurut Tajuddin, kerajaan negeri yang bertanggungjawab harus melihat perkara ini dengan serius dan memberi kerjasama kepada kerajaan pusat supaya undang-undang guna tanah dikuatkuasakan dengan telus dan tegas.

“Di Pulau Pinang mungkin kerajaan negeri dibawah pimpinan Guan Eng tidak ambil berat tentang pengeluaran hasil pertanian padi dan beras untuk rakyat.

“Mungkin dia melihat kepada perkara lain yang lebih penting seperti nak buat Cable Car dan Terowong Bawah Laut dan sebagainya dan mungkin pertanian kepada mereka bukan keutamaan,” kata Tajuddin.

Beliau menegaskan, pertanian ini bukan sahaja mengenai kepentingan orang kampung dan orang miskin tetapi kepentingan semua orang dan ianya harus dipandang serius terutamanya dalam hal pengeluaran barang makanan kerana sekarang inipun kerajaan terpaksa mengimport hampir 30% dari luar Negara bagi menumpang kekurangan tersebut.

Kerajaan mempunyai sasaran untuk meningkatkan pengeluaran bagi menjamin keselamatan makanan untuk Negara tetapi ianya perlu kerjasama dari kerajaan negeri memberi sokongan bagi memastikan kejayaan rancangan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan pusat melalui MOA.

“Seeloknya kerajaan negeri dan pusat saling bekerjasama. Saya ingat kita nak bagi tahu rakyat mulakan dengan pilihanraya kecil permatang pauh,” kata Tajuddin lagi
Read more »

Tuesday, April 28, 2015

Banjir DI Pakistan : 37 Tekorban, 200 Cedara



Sekurang-kurangnya 37 orang terkorban dan lebih 200 orang cedera akibat banjir dan ribut di barat laut Peshawar, Pakistan.
Menteri Penerangan, Mushtaq Ghani berkata hujan lebat berserta ribut bukan saja mengakibatkan banjir tetapi menyebabkan banyak bangunan runtuh selain pokok tumbang.
Pegawai Pengurusan Bencana Pakistan, Lutfur Rehman berkata ribut yang berkelajuan 75 km/jam itu adalah kejadian yang luar biasa dan ramai penduduk terkejut serta tidak sempat mendapatkan perlindungan.
Semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Peshawar juga telah dihentikan hingga banjir pulih. – AP
Read more »

Pengundi Muda Dijangka Beralih Arah, BN Bakal Jadi Pilihan - Jamawi



Pengundi muda dijangka mula beralih arah dengan menyokong calon BN kerana sudah jemu dengan retorik politik keluarga bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, ada golongan muda yang mengaku mereka pernah menjadi penyokong kuat PKR suatu ketika dahulu, telah beralih arah kepada Umno kerana bosan dengan politik keluarga Anwar.
“Mereka berkata, Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah menghargai sokongan diberikan pengundi sebaliknya mengutamakan kepentingan keluarga daripada memperjuangkan nasib pengundi,” katanya.
Menurut Jamawi, BN mempunyai potensi besar untuk menang di PRK Permatang Pauh dengan mengemukakan calon yang lebih berwibawa tetapi perlu menggunakan strategi yang baik.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Muhammad Razlan Rafii berkata, Wan Azizah bukan nama asing dalam arena politik tanah air namun keupayaan beliau dipertikai kerana gagal memimpin rakyat.
Beliau berkata, jika dilihat pada rekod-rekod lampau beliau sebelum ini, jelas tidak menunjukkan apa-apa pencapaian terbaik terutama di Parlimen Permatang Pauh ini.
“Setelah memegang jawatan untuk beberapa tahun, kemudian beliau serahkan kerusi Parlimen ini kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dibebaskan daripada penjara,” katanya.
Katanya, Wan Azizah juga tidak memiliki rekod yang baik apatah lagi cemerlang di Dun Kajang apabila beliau lebih selesa menghilangkan diri ketika rakyat memerlukan bantuannya.
“Selepas memenangi PRK Kajang hasil percaturan mengarut parti tersebut sebelum ini, tiada satu jasa pun yang dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat Kajang seperti yang diharapkan,” katanya.
Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin pula berkata, Dr Wan Azizah adalah muka lama dan calon kitar semula yang sudah hilang kredibiliti, malah penampilannya di beberapa program tiada sambutan.
“Keputusan untuk meletakkan Wan Azizah bertanding di Permatang Pauh memang sudah dijangka dan ini adalah peluang terbaik untuk BN memenangi semula kerusi tersebut,” katanya.

#PRK #PRKPermatangPauh
Read more »

Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Pemuda PAS Pulau Pinang Nekad Tidak Akan Bantu


Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) bertegas tidak akan membantu gerak kerja Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Ketuanya Mohd Yusni Mat Piah berkata keputusan itu diambil selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang masih enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun diberi tempoh sehingga semalam.

“DPPNPP dengan ini menetapkan pendirian bahawa semua jentera dan petugas Pemuda PAS Negeri direhatkan daripada semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh. Semua Bilik Gerakan Pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh.

“Malahan kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru PASTI juga akan direhatkan daripada bertugas dalam PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusni berkata pihaknya tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai pentas ceramah sepanjang tempoh berkempen.

Kemelut yang melanda kempen Pakatan Rakyat, sebelum ini dianggap selesai selepas presiden yang juga calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan PAS Permatang Pauh dua hari lepas.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan semalam menyifatkan kemelut itu sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini.

“Kita telah mendapat arahan daripada Majlis Syura yang dipengerusikan Presiden supaya jentera pilihan raya PAS kawasan Permatang Pauh memberi sokongan,” katanya.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Pusat PKR, Datuk Saifuddin Nasution sewaktu sidang media harian parti hari ini berkata, pihaknya berpegang kepada jaminan yang diberikan PAS Pusat dan menganggap tindakan DPPNPP itu tidak selari dengan kepimpinan kanan PAS. – Bernama
Read more »

#PRKPermatangPauh : Pengundi Harus Bijak Memilih, Tolak Calon 'Touch N Go' - Shahrizat



Calon PKR Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya 1999, 2004 dan 2008 sebelum berundur memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, pada 2013.

Oleh yang demikian, pengundi Parlimen Permatang Pauh boleh membuat penilaian dan perlu menolak wakil rakyat yang disifatkan sebagai ahli politik 'Touch N Go' kerana amalan suka berpindah-randah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, berdasarkan rekod Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah bertanding di kawasan Permatang Pauh sebelum PRK kali ini, selain kini beliau menjadi ADUN Kajang di Selangor.

"Pengundi di Permatang Pauh perlu bijak menilai kredibiliti calon PKR itu," katanya.
Shahrizat berkata ketika diminta mengulas pencalonan semula Presiden PKR itu bertanding PRK kawasan Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Menurut Shahrizat, maklumat balas sayap wanita UMNO di Kajang menerima pelbagai aduan yang Dr Wan Azizah tidak membawa sebarang pembaharuan sejak memenangi kerusi itu pada PRK Kajang, Mac tahun lepas.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Read more »

Pulau Pinang Isytihar 7 Mei Sebagai Cuti Umum


Pulau Pinang mengisytiharkan 7 Mei sebagai cuti umum negeri sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata inisiatif ini bagi membolehkan para pengundi, terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar dan mempunyai jadual kerja yang sibuk, untuk mengundi.

“Selepas perbincangan dengan exco-exco negeri, 7 Mei telah diwartakan sebagai cuti umum peringkat negeri,” kata Guan Eng pada sidang akhbar di Muzium Negeri Pulau Pinang, hari ini.
Read more »

#PRKPermatangPauh : Proses Penamaan Calon Berjalan Lancar


Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, di sini Sabtu.

Ia dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama-nama calon bertanding.

Sebelum ini, Barisan Nasional mengumumkan pemilihan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin sebagai calonnya manakala PKR menamakan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon parti itu.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Pada pilihan raya umum lepas, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 11,721 undi.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015). – Bernama
Read more »

Shahrizat Yakin Jentera Wanita Jalankan Tugas Yang Baik Membantu Kemenangan Di Dua PRK


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap jentera Wanita UMNO atau Jalinan BN.

Menurut Shahrizat, beliau berharap ahli-ahli Wanita UMNO yang turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh mahupun Rompin dapat melaksanakan tugas bertemu rakyat menjelaskan isu-isu berbangkit.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut meletakkan keyakinan yang tinggi kepada jentera Wanita (Jalinan Rakyat) menjalankan tugas dengan penuh amanah, intregriti dengan mengikut undang-undang dan peraturan dan mengikut arahan kepimpinan yang ditelah diamanahkan.

“Saya percaya bahawa jentera Jalinan Rakyat akan turun padang bertemu dengan rakyat untuk menjelaskan isu-isu yang berbangkit, mendekati hati para pengundi di kawasan ini.

“Nasihat saya pada jentera agar jalankan kerja dengan penuh yakin bahawa kita telah menampilkan calon yang terbaik di PRK Permatang Pauh dan Rompin dari sudut personaliti dan latar belakang akademik untuk membawa perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya yang dipetik dari portal UMNO Online.

Pada Jumaat, Naib Presiden UMNO yang juga Penyelaras PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Majlis pelancaran jentera Wanita Barisan Nasional (BN ) yang dihadiri lebih 2000 ahli dari UMNO dan parti-parti komponen BN.

#PRKPermatangPauh #PRKRompin
Read more »

#PRKRompin : Pelancaran Jentera Puteri UMNO Berjalan Penuh Semangat


Penyelaras Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini melancarkan Jentera Puteri UMNO Malaysia PRK Rompin di Tapak Dewan Terbuka Majlis Daerah Rompin pada jam 11.30 pagi tadi.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Puan Zahida Zarik Khan dan juga calon PRK Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin yang hadir bersama isteri beliau.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Hishammuddin turut meminta jentera Puteri fokus kepada pengundi di Felda.

Beliau juga menyatakan kegembiraan beliau melihat semangat yang ditunjukkan oleh jentera Puteri pada kali ini.

Seramai lebih kurang 1,200 jentera Puteri yang hadir pada majlis tersebut yang mana 400 darinya adalah jentera Puteri tempatan.

Sementara itu, Mas Ermieyati dalam ucapannya turut meminta jentera mencari pengundi luar untuk pulang mengundi pada 5 Mei nanti.

Tambahnya lagi, disarankan supaya jentera menjalankan kerja dengan berkordinasi supaya bahagian angkat dan negeri angkat dapat menjalankan program bersama-sama.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar dan proses penamaan calon akan berlangsung esok, dan pengundian awal akan diadakan pada 30 April, dan pengundian pada 5 Mei.
Read more »

Sunday, April 26, 2015

#PRKPermatangPauh : Jentera Puteri Bersiap Sedia Tawan Pengundi


Seramai 1,500 jentera Puteri UMNO hadir di majlis Pelancaran Jentera Puteri UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Penyelaras PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bertempat di Dewan Transfomasi Permatang Pauh pada jam 3.00 petang, di sini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Exco-Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan beberapa pemimpin UMNO.

Ketuanya, Mas Ermieyati dalam ucapannya sebentar tadi meminta Jentera yang bertugas dengan lebih bertenaga, malahan jentera harus menunjukkan semangat dalam berkempen demi untuk meyakinkan pengundi.

“Jentera Puteri memang lebih bertenaga, jangan takut dengan pembangkang.

“Pembangkang tiada calon lain melainkan parti mereka anak beranak, sampai bila nak dibiarkan ianya sebegitu sahaja?” katannya.

Mas Ermieyati turut menyeru kepada jenteranya memberikan lebih kesedaran kepada pengundi terutama golongan muda supaya memilih dengan bijak dan Permatang Pauh harus berubah, tidak hanya memilih hanya dari kaum kerabat pemimpin yang terdahulu.

“Cukuplah dulu mereka memerintah, kali ini kitalah pulak,” tambahnya dengan penuh semangat.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Read more »

#PRKPermatangPauh : PAS Permatang Pauh Terpaksa ‘U-Turn’


Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan hadir di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam pagi tadi.

Omar yang ditemui dilihat seperti terpaksa hadir ke majlis tersebut, apabila semua tuntutan dikemukakan pihaknya tidak dilayan PKR.

PAS Permatang Pauh juga dilihat seperti terpaksa menyokong jentera PKR sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

Omar berkata, pihaknya diarah untuk mengumpulkan ahli PAS Permatang Pauh dan memberi penjelasan berhubung tindakan ‘U-Turn’ itu.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh telah memberi kata dua kepada PKR untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud dan membuat permohonan maaf atau jika tidak, pihaknya akan memboikot jentera PKR bagi PRK parlimen itu.

“Malam ini kami akan bermesyuarat dengan seluruh ahli PAS Permatang Pauh mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, PAS Permatang Pauh menjanjikan ‘kejutan’ kepada PKR sekiranya parti itu gagal memenuhi permintaan yang dikemukakan oleh mereka.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mempertahankan pendirian beliau, katanya tidak timbul isu untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud seperti didesak PAS Permatang Pauh.

Menteri Besar Selangor itu turut menegaskan bahawa pihaknya sudah membuat perjumpaan tertutup bersama kepimpinan PAS kawasan itu bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

“Kami sudah berbincang dan kedua-dua pihak sudah berpuas hati dengan keputusan itu. Justeru, saya anggap perkara ini sudah selesai,” katanya.

Ketika ditanya adakah kemungkinan berlaku sabotaj terhadap calon PKR, Azmin berkata, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku kerana keseluruhan jentera pakatan pembangkang menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk bertanding pada PRK Permatang Pauh.
Read more »

Khairy Nafi Pemuda Atur Gerakan Jatuhkan PM



Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan sekerasnya bahawa wujud gerakan dalam Pemuda UMNO untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Khairy, isu itu sengaja ditimbulkan portal dan blog pro pembangkang untuk melaga-lagakan Pemuda UMNO dengan Perdana Menteri.

Beliau yang ditemui di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh turut merayu pengundi muda dalam Parlimen Permatang Pauh supaya memberi peluang kepada calon BN, Suhaimi Sabudin pada PRK kali ini.

Khairy menambah, BN meletakkan calon yang berusia 44 tahun, itu membuktikan bahawa BN mahu mengetengahkan golongan muda sebagai barisan pelapis untuk menerajui politik negara.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Read more »

#PRKPermatangPauh : Ibarat ‘Mendaki Gunung’, Namun Tidak Mustahil Berjaya – TPM



Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyidddin Yassin berkata cabaran yang perlu dilalui Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh adalah sukar yang diibaratkannya seperti ‘mendaki gunung’.

Namun, Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kemenangan bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai calon BN Suhaimi Sabudin, kerana BN bergerak sebagai satu pasukan yang padu.

“Saya tahu ini bukan kerja mudah…’we are underdog’ kata orang, sebagai ‘underdog’ kita tahu cabaran kita seperti mendaki gunung.

“Tapi saya yakin kerana dalam BN yang bergerak bekerja semuanya padu, tak ada split (perpecahan) dalam UMNO bahagian baik dari segi gerakan ataupun dari segi calon tak ada perpecahan. Kita tahu kita boleh bergerak sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu berlangsung setelah kerusi penyandangnya Anwar Ibrahim kosong apabila Anwar di penjarakan selama lima tahun atas tuduhan meliwat.

BN diwakili Suhaimi Sabudin yang dicabar Presiden PKR yang juga isteri kepada Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Ishak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.
Read more »

#PRKPermatangPauh : Pertandingan Empat Penjuru, Wan Azizah Mahu Rebut Kembali Tempatnya


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

Perlawanan sengii dijangka antara empat calon itu adalah, Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Ishak (Bebas) dan Azhar Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Pada jam 10 pagi tadi, proses penamaan calon ditutup dan sejurus selepas itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama calon.

Proses penamaan calon berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Bermula jam 9 pagi, ribuan penyokong parti-parti yang bertanding masing-masing mengambil tempat untuk memberikan sokongan morak kepada parti yang diwakili.

“Tidak ada borang pencalonan (yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

Calon BN Suhaimi Sabudin yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tiba di pusat penamaan calon.

Turut mengiringi beliau ialah, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan ribuan penyokong-penyokong dan jentera parti yang berkampung di Permatang Pauh.

Sementara itu, Dr Wan Azizah diiringi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Dr Abdullah Zawawi Samsudin yang sebelum ini calon Bebas pilihan raya umum (PRU) ke-13 membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendapati ada calon Bebas lain yang bertanding.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.
Read more »

Saturday, April 25, 2015

Shahrizat Yakin Jentera Wanita Jalankan Tugas Yang Baik Membantu Kemenangan Di Dua PRK


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap jentera Wanita UMNO atau Jalinan BN.

Menurut Shahrizat, beliau berharap ahli-ahli Wanita UMNO yang turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh mahupun Rompin dapat melaksanakan tugas bertemu rakyat menjelaskan isu-isu berbangkit.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut meletakkan keyakinan yang tinggi kepada jentera Wanita (Jalinan Rakyat) menjalankan tugas dengan penuh amanah, intregriti dengan mengikut undang-undang dan peraturan dan mengikut arahan kepimpinan yang ditelah diamanahkan.

“Saya percaya bahawa jentera Jalinan Rakyat akan turun padang bertemu dengan rakyat untuk menjelaskan isu-isu yang berbangkit, mendekati hati para pengundi di kawasan ini.

“Nasihat saya pada jentera agar jalankan kerja dengan penuh yakin bahawa kita telah menampilkan calon yang terbaik di PRK Permatang Pauh dan Rompin dari sudut personaliti dan latar belakang akademik untuk membawa perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya yang dipetik dari portal UMNO Online.

Pada Jumaat, Naib Presiden UMNO yang juga Penyelaras PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Majlis pelancaran jentera Wanita Barisan Nasional (BN ) yang dihadiri lebih 2000 ahli dari UMNO dan parti-parti komponen BN.

#PRKPermatangPauh #PRKRompin
Read more »

#PRKPermatangPauh : Calon Masih Muda, Ada Kelulusan – Muhyiddin


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dibuat setelah mengambil kira semua faktor dan kehendak penduduk tempatan.

Menurut Timbalan Pengerusi BN itu pemilihan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin sebagai calon BN dibuat selepas dipertimbangkan semasak-masaknya oleh kepimpinan UMNO pusat dan bahagian.

“Kami dapati ini adalah calon yang paling sesuai, masih muda, ada kelulusan yang tinggi dan terlibat dalam bidang keusahawanan serta telah lama terlibat dalam parti.

“Tambahan pula, beliau sudah mengenali kawasan Permatang Pauh kerana beliau adalah anak tempatan…ini adalah sesuatu perkara yang dimohon oleh penduduk di sini iaitu calon anak tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan calon BN itu di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Permatang Pauh memerlukan banyak pembangunan kerana kawasan itu telah agak terkebelakang dari segi pembangunan sejak beberapa tahun yang lalu.

Malah katanya, nasib rakyat di Permatang Pauh perlu dibela terutama dalam soal ekonomi, kesihatan, pendidikan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menangani masalah kos hidup.

“Kami beri jaminan jika calon BN terpilih pada pilihan raya kecil ini, (telah) ada perancangan yang rapi dan tersusun (yang) boleh kita lakukan di Permatang Pauh.

“Kita boleh mengambil kira profil kawasan ini, kita nak beritahu di mana kekurangannya, apa isu-isu sosioekonomi yang dihadapi dan cara bagaimana hal ini dapat kita tangani dengan lebih berkesan.

“Kita bagi jaminan kita akan bagi sokongan moral dan material supaya tugas beliau sebagai wakil rakyat dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah memastikan jentera BN bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, tanpa perselisihan dan bekerjasama erat untuk memastikan kemenangan bagi merealisasikan hasrat rakyat di kawasan itu.

Ditanya mengenai pergolakan dalam pakatan rakyat yang dilihat semakin ketara, Timbalan Perdana Menteri berkata itu adalah hal mereka dan rakyat yang akan menilainya.

“Apa lagi itu adalah perkara-perkara pokok, bukan perkara kecil…perbezaan pendapat yang agak ketara dalam soal-soal pokok dan dasar dalam parti DAP dengan PAS…sampai hari ni pun isu itu masih hangat.

“Apa yang penting ialah jentera BN harus bergerak dan bekerja menemui setiap pengundi dan kita tidak mahu tanya mereka sokong siapa, yang penting kita nak selesaikan masalah mereka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata BN bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh ini bukan setakat memilih calon untuk menjadi wakil rakyat tetapi mempunyai tugas yang lebih besar iaitu untuk melihat kehidupan rakyat di kawasan itu tidak terabai.
Read more »

#PRKPermatangPauh : Suhaimi Calon Yang Terbaik, Disenangi Rakyat


Keperibadian Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin yang dipilih menjadi calon pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh memang disenangi penduduk kawasan berkenaan kerana beliau seorang yang mudah didekati dan sentiasa tersenyum.

Seorang peniaga, Rizalman Husain, 45, berkata penduduk di Permatang Pauh memang mengenali Suhaimi, 44, yang selalu turun padang ketika penduduk di situ menghadapi masalah terutama bencana alam.

“Beliau sentiasa tersenyum dan selalunya bila ada penduduk menghadapi masalah terutama rumah mereka dilanda ribut atau banjir kilat, dia mesti ada dan membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Penduduk di Permatang Pauh memang mengenali beliau kerana dia anak tempatan. Seorang yang disenangi dan mudah mesra dalam kalangan orang ramai,” katanya kepada Bernama, semasa ditemui selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, yang turut dihadiri pemimpin parti komponen BN.

Terdahulu, semasa Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan nama Suhaimi, kira-kira 2,000 penduduk yang hadir pada majlis berkenaan bangun dan memberikan tepukan gemuruh serta sorakan dan ia mencerminkan ‘penerimaan’ masyarakat terhadap beliau.

Seorang lagi pengundi kawasan Permatang Pauh, S. Muthu, 35, berkata beliau yakin pemilihan Suhaimi adalah yang terbaik dan mampu membawa suara anak muda di Permatang Pauh.

“Mungkin ini masanya kita beri peluang kepada anak muda untuk menjadi wakil rakyat kepada penduduk di Permatang Pauh, di sini perlukan pembangunan dan saya percaya beliau mampu membawanya kepada kami,” katanya.

Bagi Salmah Ishak, 52, Suhaimi bukanlah orang baharu sebaliknya aktif bersama UMNO sejak 20 tahun lepas dan memang berjuang untuk penduduk di Permatang Pauh.

“Beliau memang jenis tidak cakap banyak tetapi sentiasa mendengar luahan dan masalah kami. Tahun lepas semasa rumah saya di Guar Perahu rosak akibat ribut, Suhaimi antara orang pertama datang untuk melihat keadaan rumah saya.

“Wakil rakyat yang macam itu yang kami mahu dan bukannya yang tiada di Permatang Pauh serta balik sekali sekala sahaja untuk melihat pengundi,” katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh setelah menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April, manakala hari pengundian 7 Mei. – Bernama
Read more »

#PRKRompin : Slogan PAS Berkempen Tidak Bertanggungjawab – Hasan


Calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, Datuk Hasan Arifin berkata, tindakan PAS menggunakan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebagai slogan dalam berkempen di Parlimen Rompin adalah sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, pelaksanaan CBP oleh kerajaan adalah untuk mentrasformasikan negara sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

“Slogan PAS ‘Satu Undi PAS, Satu Undi Tolak GST’ adalah konotasi yang tidak bertanggungjawab, dan CBP sebenarnya adalah satu transisi yang diusahakan oleh kerajaan (untuk menjadi negara maju),” katanya.

Hasan berkata demikian selepas menghadiri majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 10 di sini pada Khamis.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan.

Hasan, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, turut berharap pengundi di Parlimen Rompin tidak terpengaruh dengan slogan tersebut.

“CBP sebenarnya, tidak memberi kesan yang besar kepada masyarakat kampung,” katanya.

Dalam PRK itu, Hasan berdepan calon PAS Nazri Ahmad dalam saingan untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Rompin berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sejumlah 53,294 pengundi yang meliputi 19,561 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan DUN Tioman (16,339 pengundi) layak mengundi pada PRK Rompin 5 Mei ini.
Read more »

Friday, April 24, 2015

#PRKPermatangPauh : Mat Sabu Dan Mujahid Ditolak PAS Permatang Pauh


Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan, berkata pihaknya hanya akan mendengar sebarang pendapat, nasihat atau desakan diketengahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dewan Pemuda PAS (DPP) Pulau Pinang dan Dewan Muslimat negeri itu.

PAS Kawasan Permatang Pauh turut menolak untuk bekerjasama dengan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Penolakan kedua-dua pemimpin terbabit adalah berikutan mereka berdua didakwa tidak membawa suara akar umbi, sebaliknya hanya memainkan peranan politik popular dalam pakatan pembangkang.

Malahan kedua-dua pemimpin berkenaan didakwa tidak pernah berjumpa dengan akar umbi, selain hanya mengeluarkan kenyataan balas terhadap sebarang tindakan PAS Permatang Pauh berdasarkan laporan media.

“Buat apa kita nak dengar kata Mujahid. PAS (Kawasan) Bukit Gelugor pun hanya ditubuhkan untuk memberi laluan kepada dia untuk menjadi Yang Dipertua kawasan.

“Kami hanya akan mendengar nasihat daripada Presiden, DPP negeri dan Dewan Muslimat negeri kerana mereka faham isi hati akar umbi,” katanya ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan Ahli Jawatankuasa PAS Permatang Pauh, di sini, malam tadi.
Read more »

Thursday, April 23, 2015

#PRKRompin : Senarai Calon PRK Rompin P091


Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin P091

Tarikh PRK : 5 Mei 2015

Nama Calon :

1. Nazri Ahmaf (PAS)

2. Datuk Hasan Arifin (BN)

Penyandang : Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (BN)

Undi diperoleh 2013 : 30,040

Majoriti 2013 : 15,114
Read more »

#PRKRompin : Pengalaman Di Pengkalan Kubor Dibawa Ke Rompin – Ahmad Razif


Menteri Besar Terngganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, UMNO Terengganu akan menggunakan pengalaman mereka ketika membantu Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang lalu dalam usaha meningkatkan majoriti undi dalam PRK Parlimen Rompin 5 Mei ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu, dalam PRK DUN Pengkalan Kubor pada 25 Sept tahun lepas, UMNO Terengganu diamanahkan untuk menjaga pusat daerah mengundi (PDM) Tujoh, dan berjaya meningkatkan undi majoriti dalam jumlah yang besar.

Pada kali ini di Rompin, UMNO Terengganu diberikan tanggungjawab menjaga tujuh PDM iaitu Pontian, Kedaik, Kampung Gading, Bandar Baru Rompin, Kuala Rompin, Leban Chondong dan Sungai Puteri.

“Seramai 400 orang akan ditugaskan di kesemua PDM itu, dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Terengganu di sini, Selasa malam.

Tegas Ahmad Razif lagi, pihaknya optimis untuk meningkatkan majoriti undi BN pada PRK Rompin kerana BN meletakkan calon yang terbaik iaitu pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin.

Katanya lagi, calon yang dikemukakan oleh BN adalah seorang yang berpengalaman luas dalam politik dan dekat di hati pengundi Parlimen Rompin.

Tambahnya, UMNO Terengganu juga akan mengguna pakai pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi untuk memberi penjelasan berhubung isu semasa yang akan dimainkan oleh pembangkang pada PRK ini.

PRK Rompin diadakan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Read more »

#PRKRompin : Satu Lawan Satu, Penulis Blog Gagal Hantar Borang


Pegawai Pengurus Pilihan, Raya Datuk Fadzilla Salleh mengumumkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, P091, bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

Pusat penamaan calon yang dibuka pukul 9 pagi tadi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan ditutup pada jam 10 pagi.

Dua calon yang hadir calon PAS dan BN menghantar borang iaitu Datuk Hasan Arifin daripada Barisan Nasional (BN), dan Nazri Ahmad daripada PAS, telah menyerahkan pencalonan masing-masing.

Masing-masing tiba di pusat penamaan calon Nazri pada jam 8.45 pagi disusuli Hasan yang tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.04 pagi.

Pada jam 9.50 pagi, seorang penulis blog, Mohd Shukri Mohd Ramli tiba untuk menghantar borang pencalonan namun tidak dibenarkan masuk kerana tidak membawa penyata kewangan serta seorang pencadanf dan seorang penyokong bersama.

Mohd Shukri pada Isnin lepas mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Pengundian awal akan berlangsung pada 30 April ini manakala proses pengundian pula akan diadakan pada 5 Mei nanti.

Kawasan parlimen itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum Ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015).
Read more »

#PRKRompin : Proses Penamaan Calon PRK Rompin Bermula


Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin bermula pada pukul 9 pagi ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Ia dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRK ini.

Sebelum ini Barisan Nasional mengumumkan pemilihan pemangku Ketua UMNO bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai calonnya manakala PAS pula menamakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad untuk mewakili parti itu pada PRK berkenaan.

PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini.
Read more »

#PRKRompin : Jangan Ambil Mudah, Anggap Kerusi Itu Kubu Kuat BN – Hishammuddin


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengingatkan semua jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak ambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini dengan menganggap kerusi itu kubu kuat BN.

Menurut Menteri Pertahanan itu, berkata jentera BN perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan serangan terhadap parti itu, terutama serangan bertubi-tubi terhadap pucuk pimpinan.

“Hari ini saya lihat sendiri wanita BN sudah bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang begitu berat, pada masa parti dan pucuk pimpinan parti kita diserang bertubi-tubi oleh pelbagai pihak,” katanya.

Penyelaras BN bagi PRK Rompin itu berkata demikian semasa melancarkan “Jentera Rakyat Wanita BN” bagi PRK Rompin di Muadzam Shah pada Selasa.

Hishammuddin berkata jentera BN perlu mempunyai jaringan komunikasi serta kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan dalam memberi penjelasan mengenai isu dibangkitkan.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menegaskan yang pertama, pemimpin dan anggota BN perlu memastikan mesej yang disampaikan kepada pengundi mengenai program pembangunan yang telah dibawa BN ke kawasan ini adalah jelas.

“Kedua, kita perlu pastikan jaringan komunikasi dan jawapan kita kepada pengundi senada berkaitan apa sahaja isu yang diketengahkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota BN supaya sentiasa tenang dalam menghadapi sentimen dari luar.

Beliau berkata kemenangan BN di Rompin sejak sekian lama sudah membuktikan bahawa jentera parti itu di sini sudah mempunyai “acuan atau template yang betul.”

Untuk itu, beliau berharap Wanita BN mampu memikul tanggungjawab sedia ada dalam mengekalkan kemenangan.

Sementara itu Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa berucap pada majlis itu berkata Wanita BN, yang merupakan tulang belakang BN akan berusaha bersungguh-sungguh mendukung calon BN, iaitu pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin.

“Jentera Wanita BN mesti kemas, berdisiplin, amanah serta memberikan komitmen yang penuh terhadap usaha memastikan calon kita menang pada PRK kali ini,” katanya.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar dan proses penamaan calon akan berlangsung esok, dan pengundian awal akan diadakan pada 30 April, dan pengundian pada 5 Mei.
Read more »

Tuesday, April 21, 2015

#PRKPermatangPauh : Rafizi Nafi Kenyataan Media Berhubung PRK Permatang Pauh


Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan satu kenyataan media yang tersebar di media sosial yang meminta PAS menarik balik kenyataan berhubung kerjasama antara parti itu dengan PKR.

Menurut Rafizi, kenyataan yang tersebar di whatsapp mengenai PRK Permatang Pauh itu adalah palsu dan permainan jahat musuh parti itu.
“Lain kali nak menirupun perlu semak kenyataan saya yang tidak pernah bernombor,” katanya.

Berikut adalah kenyataan media palsu yang dimaksudkan:

KENYATAAN MEDIA

PARTI KEADILAN RAKYAT BERHUBUNG KENYATAAN MEDIA OLEH YDP PAS KAWASAN PERMATANG PAUH

Berhubung kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh YDP PAS Kawasan Permatang Pauh berkenaan hubungan kerjasama PAS – PKR dalam PRK P.Pauh, PKR ingin menegaskan perkara berikut :-

1. Menuntut PAS menarik balik kenyataan mengeluarkan kenyataan media secara terbuka tidak akan membantu PKR dalam PRK Permatang Pauh.

2. Kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah milik tradisi PKR. PAS tidak berhak untuk mencampuri dan mempersoalkan calon yang akan dipilih kepimpinan PKR. PAS juga tidak perlu ada niat untuk meletakkan calon di kawasan tersebut.

3. PKR ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa PKR tetap sependapat dengan DAP dan tidak akan menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tentang hudud oleh Kerajaan PAS Kelantan.

4. PKR dan DAP tidak akan teragak-agak untuk memutuskan segala hubungan dengan PAS sepertimana yang telah dilakukan di Sabah sekiranya kepimpinan PAS masih lagi bersikap mementingkan diri dan tidak mengikuti keputusan bersama dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

5. Kepimpinan PAS harus menerima hakikat bahawa kemenangan kerusi milik PAS dalam siri pilihan raya lepas disebabkan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

6. PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai Presiden PAS dilihat gagal mewujudkan pentadbiran dan pengurusan negeri secara bijaksana sehingga mengakibatkan kekalahan Pakatan Rakyat di Kedah dan Perak. Sebagai bukti, Selangor di bawah PKR dan Pulau Pinang di bawah DAP tetap teguh dan memenangi lebih banyak kerusi berbanding PAS. Bukankah ini penanda aras bahawa kekuatan sebenar dalam Pakatan Rakyat ialah PKR dan DAP?

7. Kepimpinan PAS harus menerima kenyataan ini secara terbuka bagi memastikan bahawa Pakatan Rakyat dibawah PKR dan DAP adalah jauh lebih baik berbanding PAS.

8. PKR juga menyeru kepada semua ahli PAS agar berani membuat perubahan dalam kepimpinan PAS supaya rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kepimpinan PAS yang ada sekarang sudah terlalu lama memegang jawatan dan dilihat gagal menentukan halatuju PAS dalam Pakatan Rakyat. Berilah peluang kepada Dato Paduka Husam Musa sebagai Presiden PAS yang baru.

9. PKR sekali lagi menyeru kepada PAS Permatang Pauh supaya menarik balik segala kenyataan media dan membantu PKR di Permatang Pauh. Sekiranya PAS tidak mahu terlibat membantu PKR di Permatang Pauh maka PKR juga tidak akan teragak-agak untuk tidak membantu PAS di Rompin.

Sekian, terima kasih.
Read more »

#PRKRompin : Umno Yakin BN Dapat Majoriti Undi Lebih Besar Di Rompin


UMNO yakin Barisan Nasional (BN) dapat memperoleh majoriti undi yang lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Rompin pada 5 Mei ini sekiranya dapat menangkis pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dengan sebaik mungkin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata BN mampu memperjelaskan sebarang isu atau tohmahan yang dilontarkan oleh pakatan pembangkang melalui media sosial.

Justeru, katanya, UMNO khususnya perlu memperhebat usaha menangkis dakyah yang dilemparkan oleh pembangkang melalui Facebook, ‘Whatsapp’ dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Kita perlu bersedia dengan maklumat yang sahih terlebih dahulu bagi menangkis dakyah pembangkang untuk meraih simpati pengundi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen ‘Jom Daftar Pemuda’ di Bangunan UMNO Perak, di sini hari Ahad.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. Allahyarham menjadi ahli Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas bermula pada 1990 dan pada pilihan raya umum 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Pada PRK Parlimen Rompin, UMNO telah mencalonkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon BN.

Hari penamaan calon ialah pada Rabu ini.

Pada majlis itu, sebanyak 3,397 anggota Pemuda UMNO daripada 24 bahagian mendaftar sebagai pengundi.

“Kita mengalu-alukan usaha ini dalam menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) yang akan datang,” kata Mohd Shafie.

Selain itu, beliau berkata UMNO perlu berusaha menambat semula hati pengundi yang telah beralih arah dan menyokong kembali parti itu. – Bernama.
Read more »

#PRKRompin : Sokongan Terhadap BN Masih Ada, Agak Menarik Untuk Tahu Margin Kali Ini – Tun M


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, Barisan Nasional (BN) masih diterima di Rompin dan menerima sokongan daripada pengundi parlimen Rompin.

Menurutnya lagi, beliau tertarik untuk mengetahui margin yang bakal BN dapat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang bakal berlangsung 5 Mei depan.

Dr. Mahathir yang optimis kemenangan BN di Rompin, bagaimanapun ingin melihat pecahan serta perbandingan majoriti parti yang telah bertapak di situ sejak sekian lama.

“Sekarang di Rompin, sokongan terhadap BN masih ada…agak menarik untuk tahu margin yang dapat kali ini,” ujar Dr. Mahathir.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Dalam perkembangan yang sama, 7 Mei depan turut berlangsung PRK di Permatang Pauh, apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika di minta mengulas berkenan PRK itu, Dr. Mahathir menyifatkan BN sukar menawan hati pengundi kawasan itu kerana menurutnya, majoriti pengundi Permatang Pauh telah fanatik dengan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Agak sukar (untuk BN) sebab (pengundi) fanatik. Orang yang tidak sedar akan realiti, kebenaran tapi akan mengundi secara buta-buta,” kata Dr. Mahathir.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Read more »

Monday, April 20, 2015

#PRKPermatangPauh : Pas Permatang Pauh Mahu PKR Mohon Maaf Soal Hudud


PAS kawasan Permatang Pauh hari ini menuntut Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataan mereka mengenai hudud jika mahu mendapatkan sokongan Pas pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu pada 7 Mei ini.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, Pas hanya akan meneruskan kerjasama dalam pakatan pembangkang jika PKR memohon maaf secara terbuka sebelum penamaan calon pada 25 April ini.

Pendirian itu adalah keputusan ahli-ahli akar umbi dalam mesyuarat agung Pas kawasan Permatang Pauh hari ini, katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas negeri itu juga mengambil pendirian sama berikutan tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri menyelar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud. – UTUSAN ONLINE
Read more »

#PRKPermatangPauh : Kenyataan Pemuda Pas P.Pinang Bukan Pandangan Pusat – Mat Sabu


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, kenyataan Pemuda Pas Pulau Pinang tidak akan bekerjasama dengan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh adalah pandangan dewan pemuda itu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata, sehingga kini kepimpinan Pas pusat belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhubung perkara itu.

“Saya anggap ia sekadar pandangan daripada mereka, tiada apa-apa tindakan akan diambil…tengoklah bila bermula pilihan raya nanti.

“Sesiapa pun boleh beri pandangan, namun keputusan parti akan dipatuhi oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pas kawasan Jelutong di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mohd Piah yang dipetik sebagai berkata, bahawa mereka tidak akan bekerjasama di Permatang Pauh selagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang tidak menarik balik kenyataan ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud.

Mohamad yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang turut menyifatkan isu itu adalah masalah dalam rumah tangga parti dan semua isu berbangkit itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan parti. – BERNAMA
Read more »

#PRKRompin : Hasan taruhan BN di Rompin


Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin bagi mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 5 Mei ini.

Pemilihan Hasan, 62, yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Rompin di sini hari ini.

Pemilihan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam itu menepati ramalan banyak pihak yang melihat beliau sebagai calon selesa jika BN mahu mengekalkan penguasaan kerusi berkenaan kerana sudah dikenali masyarakat Rompin selain berpengalaman luas dalam politik.

Muhyiddin berkata, Hasan me­rupakan calon paling sesuai untuk menggalas cabaran BN di kerusi itu berdasarkan pengalaman luasnya dalam pengurusan dan pentadbiran parti serta kerajaan.

“Dalam parti, beliau sudah lama memimpin di beberapa peringkat sehingga ke peringkat Ahli Majlis Tertinggi UMNO manakala dalam kerajaan beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar selain berpengalaman dalam pengurusan syarikat di bawah kerajaan negeri.

“Di samping itu, beliau pernah menjadi wakil rakyat sebagai ADUN dan kali ini kita rasa sesuai untuk beliau teruskan tradisi dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis.

“Penerimaan penduduk tempatan terhadap beliau cukup baik, saya percaya inilah pilihan yang tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman itu.
Yang hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kepemimpinan parti komponen BN negeri.

Selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri bersama tetamu dan penduduk solat Zuhur berjemaah dan menyertai majlis tahlil bagi Allahyarham Jamaludin di Masjid Al-Muadzam Shah di sini sebelum makan tengah hari bersama jemaah kariah serta penduduk setempat.
Muhyiddin berharap pengundi di Parlimen Rompin dapat menerima Hasan sebagai wakil rakyat baharu mereka sekali gus memudahkan penyampaian sebarang masalah kepadanya kerana sudah biasa dengan beliau.

Pengarah Pilihan Raya BN itu turut menasihatkan jentera parti supaya bekerja keras kerana beliau meletakkan sasaran tinggi tetapi realistik dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap pusat daerah mengundi.
Ditanya apakah BN bakal memperoleh kemenangan mudah memandangkan kerusi itu dikatakan kubu kuat parti berkenaan, beliau yakin dapat mempertahankannya tetapi perlu mengatur strategi dengan bijaksana.

“Kita tidak mahu bersikap sombong kerana ini pilihan raya yang mana penentunya adalah pengundi. Oleh itu jangan ambil mudah.
“Kebimbangan saya ialah orang ramai beranggapan BN akan menang, maka tidak ramai turun mengundi termasuk ahli parti yang membuat jangkaan begitu. Kalau peratusan mengundi tidak tinggi, ia boleh menjejaskan majoriti diinginkan,” ujar beliau.

Mengenai isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang dijangka dimainkan pembangkang pada pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sudah bersedia dengan jawapan meyakinkan untuk diperjelaskan oleh jentera parti.
“Ini perkara yang sudah kita duga dan akan diperjelaskan sepanjang kempen,” katanya.

Kerusi Parlimen Rompin kosong berikutan kematian Jamaludin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya sejak 1990 selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Read more »