Thursday, April 23, 2015

#PRKRompin : Jangan Ambil Mudah, Anggap Kerusi Itu Kubu Kuat BN – Hishammuddin


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengingatkan semua jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak ambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini dengan menganggap kerusi itu kubu kuat BN.

Menurut Menteri Pertahanan itu, berkata jentera BN perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan serangan terhadap parti itu, terutama serangan bertubi-tubi terhadap pucuk pimpinan.

“Hari ini saya lihat sendiri wanita BN sudah bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang begitu berat, pada masa parti dan pucuk pimpinan parti kita diserang bertubi-tubi oleh pelbagai pihak,” katanya.

Penyelaras BN bagi PRK Rompin itu berkata demikian semasa melancarkan “Jentera Rakyat Wanita BN” bagi PRK Rompin di Muadzam Shah pada Selasa.

Hishammuddin berkata jentera BN perlu mempunyai jaringan komunikasi serta kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan dalam memberi penjelasan mengenai isu dibangkitkan.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menegaskan yang pertama, pemimpin dan anggota BN perlu memastikan mesej yang disampaikan kepada pengundi mengenai program pembangunan yang telah dibawa BN ke kawasan ini adalah jelas.

“Kedua, kita perlu pastikan jaringan komunikasi dan jawapan kita kepada pengundi senada berkaitan apa sahaja isu yang diketengahkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota BN supaya sentiasa tenang dalam menghadapi sentimen dari luar.

Beliau berkata kemenangan BN di Rompin sejak sekian lama sudah membuktikan bahawa jentera parti itu di sini sudah mempunyai “acuan atau template yang betul.”

Untuk itu, beliau berharap Wanita BN mampu memikul tanggungjawab sedia ada dalam mengekalkan kemenangan.

Sementara itu Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa berucap pada majlis itu berkata Wanita BN, yang merupakan tulang belakang BN akan berusaha bersungguh-sungguh mendukung calon BN, iaitu pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin.

“Jentera Wanita BN mesti kemas, berdisiplin, amanah serta memberikan komitmen yang penuh terhadap usaha memastikan calon kita menang pada PRK kali ini,” katanya.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar dan proses penamaan calon akan berlangsung esok, dan pengundian awal akan diadakan pada 30 April, dan pengundian pada 5 Mei.

0 comments:

Post a Comment