Sunday, April 26, 2015

#PRKPermatangPauh : Jentera Puteri Bersiap Sedia Tawan Pengundi


Seramai 1,500 jentera Puteri UMNO hadir di majlis Pelancaran Jentera Puteri UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Penyelaras PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bertempat di Dewan Transfomasi Permatang Pauh pada jam 3.00 petang, di sini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Exco-Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan beberapa pemimpin UMNO.

Ketuanya, Mas Ermieyati dalam ucapannya sebentar tadi meminta Jentera yang bertugas dengan lebih bertenaga, malahan jentera harus menunjukkan semangat dalam berkempen demi untuk meyakinkan pengundi.

“Jentera Puteri memang lebih bertenaga, jangan takut dengan pembangkang.

“Pembangkang tiada calon lain melainkan parti mereka anak beranak, sampai bila nak dibiarkan ianya sebegitu sahaja?” katannya.

Mas Ermieyati turut menyeru kepada jenteranya memberikan lebih kesedaran kepada pengundi terutama golongan muda supaya memilih dengan bijak dan Permatang Pauh harus berubah, tidak hanya memilih hanya dari kaum kerabat pemimpin yang terdahulu.

“Cukuplah dulu mereka memerintah, kali ini kitalah pulak,” tambahnya dengan penuh semangat.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

0 comments:

Post a Comment