Sunday, April 26, 2015

#PRKPermatangPauh : Pertandingan Empat Penjuru, Wan Azizah Mahu Rebut Kembali Tempatnya


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

Perlawanan sengii dijangka antara empat calon itu adalah, Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Ishak (Bebas) dan Azhar Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Pada jam 10 pagi tadi, proses penamaan calon ditutup dan sejurus selepas itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama calon.

Proses penamaan calon berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Bermula jam 9 pagi, ribuan penyokong parti-parti yang bertanding masing-masing mengambil tempat untuk memberikan sokongan morak kepada parti yang diwakili.

“Tidak ada borang pencalonan (yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

Calon BN Suhaimi Sabudin yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tiba di pusat penamaan calon.

Turut mengiringi beliau ialah, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan ribuan penyokong-penyokong dan jentera parti yang berkampung di Permatang Pauh.

Sementara itu, Dr Wan Azizah diiringi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Dr Abdullah Zawawi Samsudin yang sebelum ini calon Bebas pilihan raya umum (PRU) ke-13 membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendapati ada calon Bebas lain yang bertanding.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.

0 comments:

Post a Comment