Sunday, April 26, 2015

#PRKPermatangPauh : PAS Permatang Pauh Terpaksa ‘U-Turn’


Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan hadir di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam pagi tadi.

Omar yang ditemui dilihat seperti terpaksa hadir ke majlis tersebut, apabila semua tuntutan dikemukakan pihaknya tidak dilayan PKR.

PAS Permatang Pauh juga dilihat seperti terpaksa menyokong jentera PKR sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

Omar berkata, pihaknya diarah untuk mengumpulkan ahli PAS Permatang Pauh dan memberi penjelasan berhubung tindakan ‘U-Turn’ itu.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh telah memberi kata dua kepada PKR untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud dan membuat permohonan maaf atau jika tidak, pihaknya akan memboikot jentera PKR bagi PRK parlimen itu.

“Malam ini kami akan bermesyuarat dengan seluruh ahli PAS Permatang Pauh mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, PAS Permatang Pauh menjanjikan ‘kejutan’ kepada PKR sekiranya parti itu gagal memenuhi permintaan yang dikemukakan oleh mereka.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mempertahankan pendirian beliau, katanya tidak timbul isu untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud seperti didesak PAS Permatang Pauh.

Menteri Besar Selangor itu turut menegaskan bahawa pihaknya sudah membuat perjumpaan tertutup bersama kepimpinan PAS kawasan itu bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

“Kami sudah berbincang dan kedua-dua pihak sudah berpuas hati dengan keputusan itu. Justeru, saya anggap perkara ini sudah selesai,” katanya.

Ketika ditanya adakah kemungkinan berlaku sabotaj terhadap calon PKR, Azmin berkata, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku kerana keseluruhan jentera pakatan pembangkang menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk bertanding pada PRK Permatang Pauh.

0 comments:

Post a Comment