Sunday, April 26, 2015

Khairy Nafi Pemuda Atur Gerakan Jatuhkan PM



Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan sekerasnya bahawa wujud gerakan dalam Pemuda UMNO untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Khairy, isu itu sengaja ditimbulkan portal dan blog pro pembangkang untuk melaga-lagakan Pemuda UMNO dengan Perdana Menteri.

Beliau yang ditemui di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh turut merayu pengundi muda dalam Parlimen Permatang Pauh supaya memberi peluang kepada calon BN, Suhaimi Sabudin pada PRK kali ini.

Khairy menambah, BN meletakkan calon yang berusia 44 tahun, itu membuktikan bahawa BN mahu mengetengahkan golongan muda sebagai barisan pelapis untuk menerajui politik negara.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

0 comments:

Post a Comment