Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Proses Penamaan Calon Berjalan Lancar


Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, di sini Sabtu.

Ia dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama-nama calon bertanding.

Sebelum ini, Barisan Nasional mengumumkan pemilihan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin sebagai calonnya manakala PKR menamakan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon parti itu.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Pada pilihan raya umum lepas, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 11,721 undi.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015). – Bernama

0 comments:

Post a Comment