Saturday, April 25, 2015

#PRKPermatangPauh : Suhaimi Calon Yang Terbaik, Disenangi Rakyat


Keperibadian Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin yang dipilih menjadi calon pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh memang disenangi penduduk kawasan berkenaan kerana beliau seorang yang mudah didekati dan sentiasa tersenyum.

Seorang peniaga, Rizalman Husain, 45, berkata penduduk di Permatang Pauh memang mengenali Suhaimi, 44, yang selalu turun padang ketika penduduk di situ menghadapi masalah terutama bencana alam.

“Beliau sentiasa tersenyum dan selalunya bila ada penduduk menghadapi masalah terutama rumah mereka dilanda ribut atau banjir kilat, dia mesti ada dan membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Penduduk di Permatang Pauh memang mengenali beliau kerana dia anak tempatan. Seorang yang disenangi dan mudah mesra dalam kalangan orang ramai,” katanya kepada Bernama, semasa ditemui selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, yang turut dihadiri pemimpin parti komponen BN.

Terdahulu, semasa Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan nama Suhaimi, kira-kira 2,000 penduduk yang hadir pada majlis berkenaan bangun dan memberikan tepukan gemuruh serta sorakan dan ia mencerminkan ‘penerimaan’ masyarakat terhadap beliau.

Seorang lagi pengundi kawasan Permatang Pauh, S. Muthu, 35, berkata beliau yakin pemilihan Suhaimi adalah yang terbaik dan mampu membawa suara anak muda di Permatang Pauh.

“Mungkin ini masanya kita beri peluang kepada anak muda untuk menjadi wakil rakyat kepada penduduk di Permatang Pauh, di sini perlukan pembangunan dan saya percaya beliau mampu membawanya kepada kami,” katanya.

Bagi Salmah Ishak, 52, Suhaimi bukanlah orang baharu sebaliknya aktif bersama UMNO sejak 20 tahun lepas dan memang berjuang untuk penduduk di Permatang Pauh.

“Beliau memang jenis tidak cakap banyak tetapi sentiasa mendengar luahan dan masalah kami. Tahun lepas semasa rumah saya di Guar Perahu rosak akibat ribut, Suhaimi antara orang pertama datang untuk melihat keadaan rumah saya.

“Wakil rakyat yang macam itu yang kami mahu dan bukannya yang tiada di Permatang Pauh serta balik sekali sekala sahaja untuk melihat pengundi,” katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh setelah menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April, manakala hari pengundian 7 Mei. – Bernama

0 comments:

Post a Comment