Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, kenyataan Pemuda Pas Pulau Pinang tidak akan bekerjasama dengan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh adalah pandangan dewan pemuda itu.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata, sehingga kini kepimpinan Pas pusat belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhubung perkara itu.
“Saya anggap ia sekadar pandangan daripada mereka, tiada apa-apa tindakan akan diambil…tengoklah bila bermula pilihan raya nanti.
“Sesiapa pun boleh beri pandangan, namun keputusan parti akan dipatuhi oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pas kawasan Jelutong di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mohd Piah yang dipetik sebagai berkata, bahawa mereka tidak akan bekerjasama di Permatang Pauh selagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang tidak menarik balik kenyataan ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud.
Mohamad yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang turut menyifatkan isu itu adalah masalah dalam rumah tangga parti dan semua isu berbangkit itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan parti. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment